Macam-macam telah berlaku semalam di Dataran Merdeka. Bukan sekadar peluh yang menitik kerana bahang panasnya, turut merah dataran itu dengan darah para peserta dan lainnya.
Saya hanya di rumah, menjaga anak-anak, kerana suami ke kuliah dari 8 pagi sampai 5 petang. Di rumah, saya tengok pelbagai sumber maklumat apa yang berlaku di Dataran itu.
Banyak perkara yang saya fikirkan. Tak wajar saya menghukum mana-mana pihak kerana saya tidak berada di situ dan tak tahu kejadian apa yang sebenarnya berlaku.
Antaranya, mengapa sehingga terjadi kejadian kereta polis merempuh peserta demo. Saya tengok semua video yang berkaitan. Yang masih belum terjawab adalah mengapa kereta itu sudah pecah-pecah dan remuk sana sini sebelum merempuh peserta yang dilaporkan cedera parah sekarang ini.
Selebihnya soalan seperti mengapa peserta menterbalikkan kereta itu telah pun terjawab; di mana ianya adalah kerana mereka ingin memastikan ada atau tidak orang yang tersepit di bawah kereta itu.
Jawapan ini tidak mungkin didapati daripada berita mainstream sebaliknya saya perlu tengok dari video lain para peserta yang turut merakamkan kejadian itu.
Saya melihat situasi yang terjadi ini atas pelbagai faktor. Antaranya, kerana ini Bersih kali ke-3 maka orang sudah mula berani melawan kata pimpinan yang sepatutnya mahukan peserta bertenang.
Atau, ada juga dalam fikiran saya yang mengatakan mungkin sahaja ada peserta yang diupah oleh orang sebelah sana untuk menimbulkan provokasi dan mencetuskan kekecohan. Sebab saya berkata begitu kerana, pemandu kereta itu dipeluk dan dibawa keluar dari kereta itu dan kelihatan takut dengan apa yang terjadi (atau mungkin juga takut dibelasah) oleh peserta yang memakai baju Bersih, manakala yang membelasah-belasah tu pakai baju biasa.
Antara faktor lain lagi, mungkin sahaja peserta sudah keletihan dan ditambah lagi dengan terkena gas pemedih mata dan lain-lain, maka masing-masing semua sudah mudah marah.
Dan yang akhir sekali saya fikirkan adalah kerana, benar-benar rakyat sudah begitu marah dengan segala yang berlaku dalam politik Malaysia dan dah tak kisah nak buat apa, janji puas hati.
Tak semua peserta yang hadir adalah peserta yang ada jiwa tarbiyah. Boleh jadi sahaja yang hadir itu kutu-kutu jalan atau mat-mat rempit yang ingin turut serta melakukan Duduk & Bantah ini demi sebuah keadilan dalam sistem pilihanraya. Tak menang pilihanraya tak mengapa, tapi biar padangnya rata. Kalau berat sebelah, itu dinamakan kezaliman. dan kezaliman itu perlu dibanteras.
Kalau kita tengok garis panduan untuk para peserta demo ini, memang jelas mengatakan jangan mencetuskan sebarang provokasi. Tetapi, akhirnya semua itu berada di luar kawalan pihak penganjur.
Macam-macam reaksi orang tentang Bersih kali ini. Tak kurang di sekitar saya yang tidak menyokongnya. Dengan alasan jalan jammed, peniaga rugi, jalan bersepah atau macam-macam lagilah.
Tapi bagi saya, tak boleh pukul rata dalam hal ini.
Apalah yang boleh kita harapkan dari orang-orang yang datang (yang mungkin sahaja solatnya pun belum tentu terjaga), tetapi pada asasnya mereka hadir kerana telah terlalu muak dengan kezaliman kerajaan yang ada sekarang ini kepada rakyat khususnya.
Mungkin sahaja yang hadir itu ada sejarah masing-masing yang dibawa bersama dan akhirnya meledakkan sebuah amarah yang luar biasa.
Mungkin sahaja yang hadiri itu adalah jiwa-jiwa yang gersang iman dan taqwa kerana telah selama berpuluh-puluh tahun ini disumbatkan dengan hedonisme yang melampau.
Mungkin sahaja yang hadir itu juga pernah hadir acara-acara konsert dan lainnya, tetapi kali ini mereka hadir ke Dataran ini kerana mereka mahukan perUBAHan.
Kerana mungkin sahaja mereka telah merasakan sudah tiba masanya biarlah barisan kepimpinan negara tempat mereka berteduh sementara meniti Hari Akhirat ini, diserahkan kepada barisan manusia yang takutkan Allah dan percayakan Hari Akhirat.
Dari itu, saya ingin menyatakan pandangan peribadi saya, kepada sesiapa jua, yang paling utama adalah kita haruslah mempunyai sikap ingin ambil peduli dengan apa yang terjadi di sekitar kita.
Kedua, untuk mengabil peduli haruslah kita membaca, melihat, mendengar dan menggunakan akal yang Allah kurniakan untuk berfikir dengan baik mana yang betul mana yang salah.
Dan untuk melakukan semua itu, tidak hanya cukup dengan membaca akhbar dan tivi mainstream sahaja semata-mata kerana yang dipaparkan sudah tentulah hanya menyebelahi satu pihak sahaja, tetapi bacalah apa yang dipaparkan di internet dan berita-berita lain baik di dalam ataupun yang di luar negara.
Kita haruslah matang dalam berfikir.
Saya mendoakan kesejahteraan buat semua para pendemo yang kini telah berparut luka antara kekecewaan dan sebuah harapan.
Saya mendoakan Malaysia aman sejahtera di bawah kepimpinan ulama'.
Saya mendoakan kita tidak mewariskan sikap robot kepada anak-anak generasi akan datang sebaliknya jiwa berani dan dipenuhi dengan iman dan taqwa.
Wallahu musta'an...
Ntah kali ke berapa..?
8 hours ago

